KUCHING, 28 Mac: Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui cabang runcit dan operasinya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) akan meningkatkan usaha bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan tidak terganggu di seluruh Sarawak sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
SEB menerusi kenyataan media memaklumkan behawa pemantauan rapi terhadap sistem bekalan elektrik sedang dijalankan dengan penyediaan langkah-langkah kontingensi.
Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Lau Kim Swee, memberi jaminan bahawa persiapan rapi telah dibuat untuk mengekalkan bekalan elektrik yang stabil sepanjang tempoh perayaan.
Ujarnya, pasukan teknikal juga berada dalam keadaan bersiap sedia selama 24 jam untuk bertindak pantas sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik.
“Pasukan kami bekerja sepanjang masa bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu untuk semua rakyat Sarawak yang menyambut Hari Raya.
“Sekiranya berlaku sebarang gangguan, pasukan kami akan segera dikerahkan dengan set penjana mudah alih tersedia untuk menyokong kawasan kritikal jika diperlukan.
“Selain itu, pemantauan sistem yang dipertingkatkan turut dilaksanakan bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan,” katanya dalam kenyatan itu.
Selain komitmen dalam mengekalkan bekalan elektrik yang stabil, SESCO turut menggesa orang ramai mengamalkan langkah keselamatan dalam penggunaan elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan serta bahaya elektrik.
Antara langkah berjaga-jaga yang disarankan termasuk memastikan semua pendawaian elektrik berada dalam keadaan baik, elak penggunaan berlebihan soket dengan pelbagai penyesuai, tidak meletakkan kabel sambungan di bawah permaidani atau perabot dan melaporkan segera kepada Sarawak Energy sekiranya terdapat pokok atau tumbuhan yang menyentuh talian elektrik udara.
“Kontraktor perlu mendapatkan kebenaran daripada Sarawak Energy sebelum menjalankan sebarang kerja penggalian bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – TVS