KABONG, 28 Mac: Sebanyak RM13,100 ditawarkan sebagai hadiah kepada pemenang Pertandingan Pintu Gerbang dan Bertuntung (Mandong) Kabong 2025 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pertandingan anjuran Pusat Khidmat PBB N.40 Kabong ini bakal menyaksikan persaingan sengit dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu Pintu Gerbang JKKK dan Mandong (Individu).
Bagi kategori Pintu Gerbang JKKK, johan akan menerima RM2,000 beserta piala dan sijil, naib johan dengan RM1,500 beserta piala dan sijil, manakala tempat ketiga membawa pulang RM1,000 beserta piala dan sijil.
Sebanyak 22 hadiah saguhati bernilai RM300 beserta sijil turut disediakan bagi peserta lain.
Sementara itu, kategori Mandong (Individu) menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta piala dan sijil untuk johan, RM400 beserta piala dan sijil untuk naib johan, dan RM200 beserta piala dan sijil untuk tempat ketiga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Datuk Mohd Chee Kadir dalam hantaran di Facebook berkata, pertandingan bertemakan ‘Aidilfitri berasaskan Melayu Islam’ ini bertujuan memelihara adat ‘mandong’ tradisi masyarakat Kabong menjelang malam 7 likur iaitu tiga malam sebelum raya.
“Apa ditunggu lagi, bersedialah untuk menyertai pertandingan mandong bagi memeriahkan suasana kampung kita tahun ini.
Jangan risau, saya akan memberikan sokongan padu dalam pertandingan mandong antara kampung kita,” katanya.
Pertandingan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan seperti yang tertera dalam poster rasmi acara.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui pihak penganjur. – TVS