KUCHING, 28 Mac: Isu berkaitan imbuhan seperti penyelarasan gaji minimum RM1,700 untuk pekerja tempatan perlu dimuktamadkan segera agar semua pihak mencapai situasi menang-menang.
Pengerusi Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) Dato Henry Lau Lee Kong berkata, kenaikan gaji minimum dan kos pengurusan warga kerja asing sebenarnya melibatkan operasi tambahan amat tinggi.
Menurutnya, kos tersebut dijangka mencecah RM200 juta sekiranya melibatkan 100,000 pekerja asing di Sarawak.
“Kita dan pemain industri kayu kayan di Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan polisi dan agenda yang sedang dilaksanakan bagi memastikan segmen kayu kayan di wilayah ini kekal relevan serta berdaya saing pada masa akan datang.
“STA akan terus bekerjasama dan mengadakan sesi sumbang saran dengan agensi serta pemegang taruh industri kayu kayan di Sarawak untuk mencapati titik keseimbangan yang selari dengan hasrat kerajaan dan pada masa sama memastikan kelestarian diutamakan.
“Kami juga berharap kerajaan mengiktitaf dan mendukung usaha STA dalam memperkasa industri kayu di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) di Kuching pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Pengerusi STA James Ho Yam Kuan dan David Tiong Chiong Ong, Setiausaha Kehormat STA Dato Sri Patrick Wong Haw Yeong dan Bendahari Kehormat STA Philip Choo Kwong Hui.-TVS