KUCHING, 28 Mac: Penggunaan lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar adalah satu langkah yang baik dari segi menyemai semangat patriotisme pelajar.
Namun, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, adalah lebih baik juga jika ia dibincang dengan para guru di sekolah serta ibu bapa sama ada mereka sedia akur atau tidak.
“Ini kerana kita agak risau tentang adanya implikasi yang lain terhadap penggunaan lencana tersebut dan jika ada apa perkara yang timbul maka semua pihak harus sama bertanggungjawab.
“Bagi guru ia bukan masalah besar, kerana mewajibkan pelajar menggunakan lencana itu adalah perkara biasa dan boleh dimasukkan dalam peraturan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, cuma kerisauan yang timbul ialah boleh atau tidak pemimpin dan masyarakat menerima kenyataan jika segelintir para remaja sekolah melakukan tingkah laku negatif ketika sedang memakai pakaian seragam sekolah.
“Kita tidak dapat meramal tingkah laku yang bakal dilakukan oleh para remaja sekolah pada masa kini, maka kita berharap pihak KPM tidak hanya menunding jari kepada pihak sekolah sahaja khasnya para guru jika berlakunya perkara negatif ini.
“Sebagai sebuah kesatuan guru sudah pasti kita akan nasihatkan semua guru untuk memberikan pesanan dan nasihat kepada para pelajar agar sentiasa menjaga nama baik negara,” ujarnya.
Katanya, menekankan semangat patriotisme adalah tugas yang selama ini digalas dengan baik oleh para pendidik.
“Namun selepas penggunaan lencana ini maka ia adalah tanggungjawab bersama antara guru dengan ibubapa serta masyarakat.
Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan pelajar bertanggungjawab terhadap lencana jalur gemilang yang digunakan oleh mereka pada pakaian seragam samada di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah,” jelasnya. – TVS