MUKAH, 28 Mac: Mayat seorang pekerja syarikat pendawaian elektrik yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Bungan Kecil pada Rabu lalu ditemui pada kira-kira pukul 7.30 malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin mengesahkan, mayat Saffuan Zaffari, 30, dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Ia ditemui penduduk kampung,” katanya ringkas ketika dihubungi sejurus maklumat mengenai penemuan mayat tersebar di laman sosial milik keluarga dan penduduk kampung.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 2 petang Rabu, bot yang dinaiki mangsa dipercayai melanggar kayu hanyut mengakibatkan mangsa tercampak ke dalam sungai.
Dalam pada itu, operasi pencarian menghadapi cabaran besar berikutan keluasan kawasan pencarian dan lebar Batang Igan yang menyukarkan usaha menyelamat.
Aliran air yang deras turut menyumbang kepada kesukaran dalam operasi tersebut.
Selain bomba, operasi turut dibantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan penduduk kampung.