ENGKILILI, 28 Mac: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menganjurkan sebanyak 29 program dengan melibatkan lebih daripada 5,781 peserta sepanjang tahun 2024.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep berkata, bilangan peserta yang ramai dalam semua program membuktikan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai semakin meningkat.
“Pada tahun 2024, LSS berjaya menganjurkan sebanyak 29 program seperti ini yang melibatkan lebih daripada 5,781 peserta. Pencapaian ini adalah satu kejayaan sangat membanggakan dan saya yakin melalui program-program seperti ini, kita dapat memperluaskan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan dan keselamatan sungai untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai (PKKKS) di Rumah Panjang Velly Rabong di Ulu Skrang, Engkilili hari ini.
Menurutnya, sungai merupakan sumber utama kehidupan dan semua pihak perlu berusaha memastikan sungai bersih, selamat dan lestari.
“Setiap tindakan kecil yang kita ambil, seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai akan memberikan kesan yang besar kepada kelestarian alam sekitar kita,” ujarnya.
Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, penglibatan peserta dalam program anjuran LSS mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen masyarakat terhadap isu alam sekitar.
Program Kesedaran Awam Kebersihan dan Keselamatan Sungai ((PKAKS) di Rumah Velly Rabong di Sungai Pinang, Ulu Skrang Engkilili itu turut disertai oleh 23 rumah panjang sekitar Ulu Skrang.
Turut hadir ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, ADUN Krian, Friday Belik dan Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Ding Tiew Wong.-TVS