KUCHING, 28 Mac: : Taktik penyamaran anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak sebagai penumpang bas ekspres akan diteruskan pada musim perayaan kali ini dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA).
Pengarahnya, Norizan Jili berkata operasi berkenaan telah bermula sejak 24 Mac hingga 8 April 2025 bagi memastikan kelancaran jalan raya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, dalam Ops HRA turut mengadakan sekatan jalan raya pada dua hari sebelum dan selepas perayaan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya.
“Strategi kita untuk mengelakkan salah laku adalah kita juga akan membuat penyamaran JPJ selaku penumpang bas.
“Sebelum ini bila kita buat penyamaran kita dapati kebanyakan pemandu dia tak banyak, segelintir pemandu antara kesalahan kita nampak ialah main telefon dan juga kadang kadang pemandu agak laju tetapi keadaan di Sarawak ni terkawal lah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2025 di Terminal Bas Kuching di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, program advokasi yang melibatkan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bertujuan untuk melakukan pemeriksaan saringan air kencing terhadap pemandu.
Jelasnya, pemeriksaan saringan air kencing pemandu yang dilakukan setakat ini berada pada tahap yang memuaskan kerana hasil pemeriksaan belum ada yang positif dadah.
“Itulah tujuan kita melakukan pemeriksaan bersama dengan pihak AADK di mana fungsi AADK lebih kepada pemantauan dari segi pemandu lah di mana kedua dua pemandu pertama dan kedua akan disaring.
“Alhamdulillah setakat ini keputusan takda yang positif, semua negatif dan saya rasa pihak AADK akan bersama dengan kita sehingga selepas raya, kita akan sentiasa update jika ada sebarang keputusan yang tak elok,” jelasnya.
Seramai 157 anggota JPJ di seluruh cawangan Sarawak turut serta dalam Ops HRA yang memberi fokus kepada aspek keselamatan dan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 56 lokasi di Sarawak yang menjadi tumpuan sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. -TVS