KOTA SAMARAHAN, 28 Mac: Graduan anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di luar Sarawak boleh menuntut bantuan bagi membeli tiket penerbangan bernilai RM300 bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, secara khusus tiada bantuan serupa yang dikhaskan untuk sambutan tertentu termasuk Hari Raya Aidilfitri atau perayaan lain.
Bagaimanapun menurutnya, graduan tersebut boleh momohon bantuan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS) bagi membeli tiket pernerbangan pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan ini.
“Mereka boleh gunakan peruntukan tersebut sebanyak dua kali setahun iaitu kali pertama memohon mereka akan dapat RM300 dan kalau dua kali memohon mereka akan dapat RM600.
“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban pelajar kita untuk membeli tiket kapal terbang pulang ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Menghadiri Program Penyerahan Sumbangan Food Bank dan Dapur HEP serta Program Sinar Kasih Aidilfitri Pelajar Asnaf di Masjid Al Qurawiyyin Univerisiti Teknologi MARA (UiTM) di sini.
Fazzrudin menjelaskan, bantuan IGPS itu tidak terhad kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri sahaja sebaliknya graduan anak Sarawak terlibat boleh memohon bantuan itu mengikut kesesuaian masa masing-masing.
Namun begitu pemohonan bagi mendapatan bantuan itu hanya dapat dibuat sebanyak dua kali sahaja bagi tempoh setahun dan ia boleh dipohon menerusi aplikasi Yayasan Sarawak.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua graduan anak Sarawak untuk memuat naik aplikasi SPay Global bagi membolehkan penyaluran bantuan wang saku sebanyak RM1,200.-TVS