BANGKOK, 28 Mac: Gempa bumi kuat dilaporkan melanda ibu negara Thailand pada Jumaat, menggegarkan bangunan, menyebabkan penduduk lari bertempiaran dan mencetuskan panik di seluruh bandar.
Jabatan Meteorologi Thailand melaporkan gempa bumi itu berukuran 8.2 pada skala Richter manakala Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana merekodkan gempa dengan magnitud 7.4.
Kejadian berlaku sekitar 1.20 tengah hari (waktu tempatan), dengan orang ramai yang panik bergegas keluar dari bangunan susulan gegaran kuat yang melanda Bangkok.
Video dan gambar yang tular di media sosial merakamkan orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik dari bangunan.
Bangunan Pejabat Ketua Audit Negara (OAG) yang sedang dalam pembinaan di Chatuchak runtuh. Laporan awal pihak berkuasa Thailand menyatakan seramai 43 pekerja terperangkap di bawah runtuhan.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberi amaran bahawa gegaran susulan boleh berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang.
Sementara itu, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt telah mengarahkan penubuhan pusat kawalan insiden gempa bumi di Pejabat Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).
Beliau berkata BMA sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan, khususnya bangunan tinggi dan infrastruktur utama, serta memantau kawasan yang mungkin mengalami kerosakan atau menimbulkan risiko kepada keselamatan awam.
Pasukan penyelenggaraan hospital turut diarahkan untuk memeriksa kestabilan struktur bangunan. Jika didapati selamat, pesakit kritikal akan dibenarkan kembali untuk rawatan segera, manakala kes tidak mendesak mungkin dijadualkan semula mengikut keperluan.