KUNMING (China), 28 Mac: Gegaran kuat dirasai di beberapa bandar di barat daya China, di Wilayah Yunan yang bersempadan dengan Myanmar, selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada pukul 2.20 petang Jumaat.
Setakat ini, tiada laporan kematian dilaporkan di Yunan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Ramai penduduk di ibu negeri wilayah itu, Kunming, bergegas keluar atau tetap berada di luar rumah untuk mengelakkan sebarang bahaya selepas merasai gegaran.
Li Zhihao, seorang penduduk di Jinghong, Wilayah Autonomi Dai Xishuangbanna yang bersempadan dengan Myanmar, berkata beliau merasai gegaran yang berlangsung hampir seminit.
Pusat gempa terletak pada kedudukan 21.85 darjah latitud utara dan 95.95 darjah longitud timur, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.
Gempa itu berlaku pada kedalaman 30 kilometer, kata pusat itu.
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 menggoncang Wilayah Sagaing, Myanmar pada Jumaat, diikuti dengan gempa susulan bermagnitud 6.4, 12 minit kemudian, menurut laporan media antarabangsa yang memetik Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).-TVS