MIRI, 27 Mac: Polis Daerah Miri berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 10 malam di tepi jalan Kampung Lusut yang mana mana polis merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 50.10 gram yang dianggarkan bernilai RM5,511.
“Hanya 20 minit selepas serbuan pertama, satu lagi serbuan dilakukan di Jalan Hokkien membawa kepada penahanan seorang lagi suspek serta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk Methamphetamine, Ketamine dan Erimin 5 dengan jumlah berat 161.51 gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM19,767,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dengan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika sabit kesalahan.
Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Miri bagi permohonan reman. – TVS