MANILA, 28 Mac: Amerika Syarikat (AS) menegaskan komitmen “kukuh” terhadap pakatan pertahanan dan ekonomi dengan Filipina, kata Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth pada Jumaat.
Menurut laporan Agensi Berita Filipina (PNA), dalam kunjungan hormat ke Istana Malacañan, Hegseth memberi jaminan kepada Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. bahawa Presiden AS Donald Trump tetap “amat komited” untuk memperkukuh hubungan sekutu, persahabatan dan kerjasama dengan Manila.
“Saya baru sahaja berkesempatan bercakap dengan presiden kami, Presiden Trump, yang turut menitipkan salam kepada anda serta sangat menghargai negara hebat ini.
“Beliau dan saya ingin menegaskan komitmen kukuh kami terhadap Perjanjian Pertahanan Bersama (MDT) serta perkongsian ekonomi dan ketenteraan yang telah diusahakan oleh pasukan kami dengan penuh dedikasi selama beberapa minggu dan bulan,” kata Hegseth kepada Marcos.
Beliau turut menyatakan AS amat berminat dalam memperluas kerjasama ketenteraan dengan Filipina, yang disifatkan sebagai “saling menguntungkan” dan “amat penting” bagi kedua-dua negara. Beliau juga menantikan untuk mengadakan perbincangan secara mendalam semasa lawatannya.
Marcos pula berkata bahawa persahabatan dengan AS adalah “sesuatu yang sudah sebati” dengan kebanyakan rakyat Filipina, memandangkan hubungan erat yang telah terjalin selama lebih satu abad.
Filipina dan AS menjalin hubungan diplomatik rasmi pada 4 Julai 1946, menjadikan AS sekutu perjanjian tertua dan satu-satunya bagi negara itu.
Kerjasama pertahanan dan keselamatan dua hala kekal sebagai tonggak utama hubungan ini, berpaksikan MDT, Perjanjian Pasukan Lawatan, Perjanjian Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan, serta rangka kerja dua hala lain.
Dimeterai pada 30 Ogos 1951, MDT merupakan perjanjian pertahanan tertua Filipina, yang memperuntukkan sokongan bersama antara kedua-dua negara sekiranya berlaku serangan bersenjata dari luar.-TVS