AIRBORNEO berpotensi mencapai tahap syarikat penerbangan antarabangsa seperti Qatar Airways dan Turkish Airlines jika diurus dengan baik serta berlandaskan prinsip ketelusan dan perancangan yang rapi, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, dalam mana-mana bidang perniagaan, terutamanya industri penerbangan yang penuh dengan risiko, kejayaan bergantung kepada perancangan strategik dan pengurusan cekap.
Menurutnya, kebanyakan syarikat penerbangan komersial bergantung kepada pelaburan swasta yang mengukur kejayaan berdasarkan keuntungan tahunan.
“Keputusan untuk berkembang iaitu membeli pesawat baharu, menambah perkhidmatan atau meningkatkan kualiti banyak bergantung kepada prestasi kewangan dalam tempoh tertentu. Jika dalam tempoh lima tahun tidak mencatat keuntungan, syarikat tidak akan berkembang.
“Berbeza dengan AirBorneo yang hampir 100 peratus dimiliki oleh Kerajaan Sarawak. Apabila dimiliki oleh kerajaan yang kukuh dari segi kewangan, serta diuruskan dengan telus dan cekap tanpa pembaziran atau penyelewengan, potensi untuk berjaya adalah tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS ketika diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa AirBorneo mungkin berdepan cabaran seperti Rayani Air dan MYAirline yang terpaksa menamatkan operasi dalam tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, Abdul Karim menekankan faktor utama yang menentukan kejayaan AirBorneo bukan sekadar kekayaan negeri tetapi bagaimana dana tersebut diurus dan dibelanjakan dengan bertanggungjawab.
Dari Sarawak ke mata dunia, AirBorneo sedia kuasai ruang udara Asia Pasifik
Beliau turut membandingkan AirBorneo dengan beberapa syarikat penerbangan milik kerajaan lain yang berjaya, seperti Qatar Airways, Emirates dan Turkish Airlines.
“Melihat kepada kejayaan syarikat penerbangan milik kerajaan seperti Qatar Airways, Emirates, Turkish Airlines dan juga Singapore Airlines yang diurus secara profesional dan mengaut keuntungan besar dengan bonus kakitangan mencecah enam hingga tujuh bulan gaji, ia membuktikan bahawa kejayaan bergantung kepada pengurusan yang cekap dan berintegriti.
“Jika kita ada niat yang baik untuk memajukan AirBorneo, saya percaya ia boleh berjaya. Tetapi jika kepimpinan hanya memikirkan bagaimana mahu memperkayakan diri sendiri, maka lupakan sahaja. Tidak kira sehebat mana pun syarikat penerbangan itu, ia pasti akan lingkup,” tegas Abdul Karim.
Kerajaan Sarawak sebelum ini telah memuktamadkan pengambilalihan MASwings untuk dijenamakan semula sebagai AirBorneo dengan sasaran menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan utama di Borneo. – TVS