PADAWAN, 28 Mac: Seramai 25 orang warga Padawan menerima Sijil Sistem Pendaftaran Kewarganegaraan (NRS) dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Padawan, pada Jumaat.
Memetik laporan UKAS, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, pemberian status ‘anak sarawak’ ini merupakan inisiatif baharu kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.
“Anak-anak hasil perkahwinan campur menghadapi kesukaran untuk diiktiraf sebagai anak sarawak namun, dengan pindaan Perlembagaan Sarawak, proses pengiktirafan kini menjadi lebih mudah dan jelas.
“Langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak mendapat hak dan keistimewaan yang sepatutnya, sekali gus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pelbagai aspek sosial dan ekonomi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menambah, keputusan untuk memilih etnik mana yang ingin diiktiraf adalah hak individu, asalkan ia mematuhi peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.
“Penganugerahan Sijil NRS ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penerima dan memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat pengiktirafan sewajarnya dalam sistem pentadbiran wilayah ini,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap. – TVS