GEORGE TOWN, 27 Mac: Seorang wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki pada bulan lalu.
Tertuduh, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Honda Jazz di atas jalan raya dalam keadaan pengaruh minuman yang memabukkan sehingga tidak dapat mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian Thomas Ch’ng Kai Hen, 18.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangukutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama iaitu sehingga menyebabkan kecederaan ke atas Ooi Qi Heng, 18.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangukutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara 7 hingga 10 tahun dan didenda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Jelutong, Daerah Timur Laut di sini kira-kira pukul 9.48 malam pada 19 Februari lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.
Dalam rayuannya, Mahendran memberitahu mahkamah, tertuduh tidak bekerja serta merupakan ibu kepada tiga anak berusia setahun, 10 dan 16 tahun serta suaminya seorang penjaja.
Mahkamah kemudiannya membenarkan dia diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan digantung lesen memandu sehingga kes selesai.
Kes itu akan disebut semula 21 April depan bagi serahan dokumen.
Terdahulu, media pada Februari lalu melaporkan seorang pejalan kaki maut, manakala rakannya cedera selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang wanita warga Vietnam yang sedang mabuk.
Mangsa yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. – TVS