KUCHING, 27 Mac: Sambutan Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut oleh Unit Khas Z Australia di Bario bukan sekadar memperingati keberanian pejuang kemerdekaan, tetapi menandakan detik transformasi bagi kehidupan komuniti Kelabit.
Penasihat Rurum Kelabit Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gerawat Gala berkata, langkah ini menjadi titik tolak kepada perubahan sosial dan intelektual dalam komuniti tersebut sejak pendaratan Unit Khas Z Australia di Bario pada 25 Mac 1945.
“Sekolah pertama di Bario telah ditubuhkan oleh Mejar Tom Harrison, ketua Unit Khas Z, yang membawa seorang guru dari Indonesia-Timor bernama Paul Kohuan untuk memulakan sekolah pertama dalam kalangan masyarakat Kelabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengorbanan pejuang terdahulu juga telah mendorong ramai anak Kelabit menyertai pasukan keselamatan negara dengan lebih daripada 300 anggota komuniti ini telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan, termasuk dalam Pasukan Pengakap Sempadan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Hal ini katanya, telah membuktikan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat Kelabit, dengan kira-kira lima peratus daripada populasi mereka terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Salah seorang daripada mereka ialah mendiang Sub Inspektor Ngelinuh Bala, yang merupakan antara segelintir anggota Tentera Malaysia yang dianugerahkan pingat ketenteraan tertinggi negara, Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), sebagai pengiktirafan terhadap keberanian luar biasanya dalam pertempuran menentang komunis di Sibu,” ujarnya lanjut.
Katanya lagi, sambutan tahunan ini akan terus diadakan sebagai simbol penghormatan serta peringatan akan titik perubahan dalam sejarah komuniti Kelabit.
Tambah Gerawat, sebelum ini pada 25 Mac, Acara Peringatan Antarabangsa ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 turut diadakan di Bario Memorial Park, menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk wakil dari Australia, New Zealand, Britain, serta veteran dan waris Unit Khas Z.
Program anjuran Rurum Kelabit Sarawak ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Sarawak, agensi kerajaan, serta badan ketenteraan antarabangsa.
Acara pada hari ini disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi penyerahan bendera Sarawak oleh Pegawai dari Unit Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Sharulrizal Sabri sebagai simbolik kepada acara penuh makna ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Hadir sama, Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Kolonel Dale Parker dan Timbalan Ketua Misi Suruhanjaya Tinggi Australia, Simon Fellows. – TVS