KUCHING, 27 Mac: TV Sarawak (TVS), syarikat penyiaran pertama milik penuh Sarawak dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebagai agensi bertanggungjawab dalam penyebaran maklumat Kerajaan Sarawak mengorak langkah dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi mempertingkatkan mutu penyiaran dan penyebaran maklumat kepada rakyat Sarawak.
Dalam satu hantaran di Facebook, UKAS memaklumkan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan melibatkan pelbagai inisiatif termasuk pemantapan aspek teknikal serta latihan penyiaran.
“Sebagai langkah proaktif, TVS dan UKAS akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan komitmen bersama dalam memperkasa industri penyiaran negeri.
“Melalui MoU ini, TVS dan UKAS akan berkolaborasi dalam aspek pembangunan modal insan, perkongsian teknologi penyiaran serta penghasilan kandungan berita yang lebih komprehensif dan berorientasikan kepentingan rakyat,” menurut hantaran itu.
Delegasi TVS yang diketuai Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Ismail dan Ketua Pegawai Media SMG, Mohamad Sardon Zainal hadir ke Bangunan Baitul Makmur bagi sesi perbincangan bersama UKAS yang diketuai Pengarahnya, Awang Putrayusrie Awang Redzuan pada Rabu.
Dalam sesi pertemuan itu, TVS dan UKAS turut berbincang mengenai usaha mempertingkatkan kecekapan penyampaian berita selain meneroka peluang bagi memperluaskan skop latihan dan pertukaran kepakaran dalam bidang penyiaran.
Norhyati Ismail menyifatkan jalinan tersebut sebagai satu langkah strategik yang bukan sahaja memperkukuh hubungan antara TVS dan UKAS tetapi mewujudkan ruang bagi pertukaran idea serta teknologi yang dapat memperkayakan industri penyiaran negeri.
Sementara itu, Awang Putrayusrie berkata, UKAS menyambut baik kerjasama tersebut dan percaya ia bakal mempertingkatkan keupayaan dalam menyalurkan maklumat yang tepat, pantas dan berintegriti kepada masyarakat.
TVS dan UKAS optimis pemeteraian MoU itu kelak akan menjadi pemacu kepada pembangunan industri penyiaran negeri yang lebih dinamik dan progresif. – TVS