KUCHING, 27 Mac: Angkara tidak dibayar gaji dipercayai menjadi punca dua lelaki tempatan bertindak membakar sebuah jengkaut di sebuah tapak projek di kawasan Jalan Tun Dato Abang Haji Mohd Salahuddin di Petra Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah yang mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu berkata, berdasarkankan maklumat, kedua-dua suspek berusia 34 dan 46 tahun itu berjaya ditangkap sepasukan polis dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
“Punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati antara suspek dengan majikan yang tidak membayar gaji lalu bertindak
membakar jentera tersebut menggunakan botol kaca berisi minyak petrol.
“Hasil ujian saringan awal air kencing bagi kedua-dua suspek adalah positif dadah, kes ini tidak melibatkan sebarang isu gengsterisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
“Kita menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ridzainuddin Rosley Abdullah di talian 010-9431449.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan dengan kejadian ini,” tegasnya.-TVS