KUALA LUMPUR, 27 Mac: Penyelesaian yang dicapai berhubung isu tapak tanah untuk pembinaan Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah di sini bukanlah menunjukkan kemenangan atau keangkuhan mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia menonjolkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam terhadap penyelesaian isu itu yang menjadi perbualan hangat masyarakat susulan tapak pembinaan itu diduduki Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Bagi saya kejayaan sebenarnya apabila kita dapat muncul sebagai contoh yang baik.
“Ini menunjukkan orang Islam mempunyai keperibadian yang baik, ihsan, penyayang, adil dan bukannya bengis serta membenci.
“Semua itu tidak pernah menjadi dasar yang kita dukung,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid MADANI di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau telah mencadangkan kepada pihak pembiaya agar masjid itu turut dilengkapi fasiliti seperti perpustakaan, dewan persidangan serta ruang seni dan budaya.
Hal itu, kata beliau bagi membolehkan Islam diperkenalkan kepada orang awam susulan lokasi masjid yang strategik terletak di tengah-tengah bandar.
“Fadillah juga ada cadangkan supaya ada ruang budaya dan seni iaitu sebagai tempat masyarakat berkumpul di masjid ini.
“Ia supaya rakan-rakan bukan Islam tidak terasa kekok untuk datang dan kita kenalkan Islam yang sederhana dengan penuh rahmah dan hikmah, ini harus kita lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, masjid yang mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa itu dijadual siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Katanya, masjid yang dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi itu turut mempunyai dewan acara, selain pejabat serta kemudahan asas lain. – TVS