KUCHING, 27 Mac: Peristiwa Operasi Semut yang berlaku semasa Perang Dunia ke-2 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap baharu bagi Sarawak khususnya di Bario.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, operasi ketenteraan yang melibatkan kerjasama pasukan keselamatan dari tiga negara iaitu Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat serta pejuang tempatan itu membantu mengusir penjajah Jepun ketika itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah negeri ini.
“Waktu itu, sekolah telah dibuka dan ia sudah tentu sekali memberikan landskap dan pendekatan yang baharu untuk kawasan Bario bahkan untuk Sarawak dalam era yang baharu selepas Perang Dunia ke-2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Katanya, ini merupakan satu sejarah penting yang harus diingati oleh generasi hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan acara bagi memperingati sejarah itu.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Penasihat Rurum Kelabit Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, dan Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Hadir sama, Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Kolonel Dale Parker dan Timbalan Ketua Misi Suruhanjaya Tinggi Australia, Simon Fellows.
Padang Merdeka Kuching menjadi saksi usaha menghidupkan semula sejarah menerusi lakonan semula pendaratan payung terjun Operasi Semut 1945 dari ketinggian 8,000 kaki, di Padang Merdeka, Kuching hari ini.
Acara bersejarah itu mengingatkan kita akan keberanian anggota Unit Khas Z Australia yang dikenali sebagai ‘Semut’ serta pejuang tempatan dalam menentang pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Bario, Sarawak. – TVS