KUALA LUMPUR, 26 Mac: Inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai terus diperluaskan bagi membantu mengurangkan pencemaran sumber air serta mengurangkan pelepasan karbon.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, minyak masak terpakai kini menjadi komoditi penting kerana ia boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api penerbangan lestari.
Katanya, ia bakal menjadi keperluan wajib bagi syarikat penerbangan di peringkat antarabangsa dalam beberapa tahun akan datang.
“Sekarang saya fikir minyak masak terpakai merupakan satu komoditi penting.
“Kalau sebelum ini ia dibuang begitu sahaja dan menimbulkan pencemaran, kini ia boleh digunakan untuk bahan api penerbangan lestari yang akan menjadi semakin penting di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program FatHopes Bersama Ekosetiawangsa di Tapak Pasar Malam, Jalan Seri Rejang 1, Setapak Jaya di sini pada Rabu.
Sementara itu Nik Nazmi berkata, beberapa syarikat tempatan juga kini terlibat dalam sektor berkenaan bagi menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Jelas beliau, syarikat seperti FatHopes Energy mempunyai rangkaian pengumpulan minyak masak terpakai yang merangkumi pelbagai lokasi seperti kawasan perumahan, sekolah, tempat ibadat, serta dewan orang ramai.
“FatHopes Energy menjadi peneraju dalam usaha ini dengan mengumpulkan minyak masak terpakai untuk dijadikan bahan api penerbangan mampan (SAF) ,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi FatHopes Energy, Vinesh Sinha berkata, usaha ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, tetapi juga mengurangkan intensiti karbon dalam sektor penerbangan.
“Syarikat kami telah beroperasi selama lima belas tahun, dalam usaha mengumpul minyak masak terpakai untuk dijadikan bahan api penerbangan lestari.
“Kami bukan sahaja mengumpulkan minyak masak terpakai dari bazaar Ramadan di seluruh negara, malah turut melaksanakan pengumpulan dari rumah ke rumah, kedai ke kedai serta restoran makanan segera,” jelasnya.
Tambahnya, FatHopes mengumpul secara purata sebanyak 2,000 hingga 3,000 liter minyak masak terpakai bagi di bazar Ramadan di seluruh negara. -TVS.