KUALA LUMPUR, 27 Mac: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen tertinggi dalam tujuh tahun dengan pengagihan sebanyak lima peratus serta bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun kewangan 2024.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2024 adalah RM514.20 juta, meningkat daripada RM485.08 juta yang diberikan pada tahun sebelumnya.
Kata beliau, prestasi yang ditunjukkan oleh LTAT membuktikan bahawa segala perancangan dan langkah yang dirangka telah berjalan dengan baik.
“Walaupun pelaksanaannya masih baharu, hasilnya sangat memberangsangkan terutama dari segi pendapatan, dividen dan rizab,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera di sini hari ini.
Sementara itu tambah Mohamed Khaled,lonjakan dividen itu akan memberi manfaat kepada lebih 125,000 pencarum yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kenaikan ini didorong oleh peningkatan pendapatan LTAT sebanyak 2.5 peratus kepada RM753 juta serta keuntungan bersih sebanyak RM587.50 juta, lonjakan hampir 24 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata bahawa, prestasi kewangan itu mencerminkan kestabilan dan kejayaan strategi pelaburan yang mampan.
“Prestasi kewangan tahun ini membuktikan keberkesanan strategi kami dalam mengukuhkan kedudukan LTAT dan memastikan kebajikan pencarum terus terpelihara,” katanya. -TVS.