SARIKEI, 27 Mac: Pembinaan infrastruktur jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir menjadi bukti Kerajaan Sarawak terus berusaha membangunkan ekonomi wilayah tengah dengan pendekatan menyeluruh.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, dengan komitmen Kerajaan Sarwak yang dipimpin Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg lebih banyak pembangunan infrastruktur dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi wilayah tengah.
“Ini termasuklah pembinaan Jambatan Batang Rajang yang bernilai RM321 juta. Projek ini melibatkan pembinaan jalan sepanjang 17 kilometer serta jambatan utama yang menghubungkan kawasan Sarikei, Tanjung Manis, Jerijeh, Kampung Rajang dan Belawai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Rajang di sini, Khamis.
Menurutnya, meskipun projek tersebut sepatutnya siap dua tahun lalu, pelaksanaannya sedikit tergendala akibat pandemik COVID-19.
“Namun, dengan Pra Pelancaran yang diadakan hari ini, jambatan ini boleh mula digunakan sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Dengan adanya jambatan ini, masa perjalanan yang sebelum ini mengambil sehingga dua jam setengah akan dipendekkan kepada hanya 45 minit,” ujarnya.
Menurutnya, pembanguan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkukuh infrastruktur demi kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan Infrastruktur ini juga selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Infrastruktur yang dibangunkan bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk tetapi juga membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, pertanian, pendidikan dan perindustrian,” jelasnya.
Selain itu, Jambatan Batang Rajang adalah sebahagian daripada rangkaian pembangunan jalan dan jambatan yang sedang giat dilaksanakan Kerajaan Sarawak termasuk Jambatan Batang Lassa yang dilancarkan bulan lalu serta Jambatan Batang Paloh yang dijangka siap menjelang awal tahun depan.
Tambahnya, Projek pembangunan infrastruktur adalah keutamaan dalam membangunkan wilayah tengah sebagai hab ekonomi yang lebih maju dan berdaya saing.
“Inilah pendekatan kerajaan dalam memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual untuk manfaat rakyat dengan pemantauan rapi bagi mempercepatkan persiapan projek,” kata Len.
Dengan pembangunan yang pesat ini, Sarawak dijangka terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju menjelang 2030 selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.-TVS