Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penduduk Mahli Udin memasang pelita di halaman rumah bagi memeriahkan lagi suasana Program Pertandingan Bertuntung ketika tinjauan FotoBernama di Kampung Nombor, baru-baru ini. Foto Bernama.

Hidupkan semula tradisi bertuntong di Sarawak

KUCHING, 27 Mac: Arus kemodenan sedikit sebanyak telah menghakis tradisi bertuntong atau menyalakan punjut atau lampu pelita bagi menghiasi kediaman menjelang Aidilfitri yang dulunya menjadi aktiviti wajib masyarakat Melayu Sarawak.

Sehubungan itu, untuk memulihara warisan tersebut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah menganjurkan pertandingan bertuntong selama tiga malam bermula Selasa lepas.

Ketua Juri Pertandingan Mohamad Nur Syafiq Mohamad Andai berkata sejak 10 tahun lepas, DBKU berusaha menganjurkan aktiviti tersebut bagi memastikan tradisi bertuntong yang menggunakan pelita dan lampu tradisional, tidak hilang ditelan zaman.

“Tahun ini, pertandingan bertuntong di kawasan Satok memberi fokus kepada penggunaan lampu cabik (lampu hiasan warna-warni) yang merupakan elemen utama dalam sambutan tradisi ini.

“Tujuan utama kami adalah untuk menggalakkan generasi muda terlibat dalam tradisi ini dan mengingatkan mereka tentang pentingnya memulihara warisan yang semakin kurang diminati, melibatkan penggunaan pelita kerana ia sudah jarang ditemui di kampung-kampung,” katanya kepada Bernama.

Nur Syafiq berkata aktiviti bertuntong ini juga menjadi platform untuk masyarakat kampung menunjukkan kreativiti mereka melalui hiasan lampu yang kemas dan menarik.

“Setiap tahun, kriteria penilaian dalam pertandingan ini semakin ketat dengan penekanan kepada kekemasan dalam penyediaan lampu cabik serta elemen bertuntong itu sendiri.

“Meskipun pertandingan ini sengit, ia tetap mencerminkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam komuniti kampung selain mendapat penyertaan yang menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata tahun ini hampir 20 rumah rumah dari enam kampung di kawasan Satok iaitu Kampung Bintangor Kecil, Kampung Bintangor Besar, Kampung Muda Hashim, Kampung No. 5, Kampung No. 3 dan Kampung Kudei Baru mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Setiap rumah ini dihiasi dengan pelita dan lampu cabik yang menyinari malam, membawa semula kenangan nostalgia sambutan raya dan tradisi bertuntong.

“Ini adalah satu langkah penting dalam mengekalkan warisan yang telah menjadi identiti masyarakat tempatan sejak sekian lama. Harapan saya, dengan penyertaan yang bertambah dari tahun ke tahun, tradisi ini kan terus hidup dalam kalangan generasi akan datang,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan