KUCHING, 26 Mac: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) mengalu-alukan penglibatan lebih ramai pengamal media bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Pengerusinya, Datu William Patrick Nyigor berkata pihaknya amat menekankan kepentingan media sebagai rakan strategik utama dalam komunikasi pembangunan.
“Sejak 42 tahun lalu, AZAM Sarawak telah menjadi organisasi yang komited dalam membangunkan masyarakat melalui komunikasi partisipatif.
“Segala usaha ini tidak akan sampai kepada rakyat tanpa peranan penting media yang menjadi penyampai suara kami.
“Kami amat menghargai peranan media bukan hanya sebagai pemberita, tetapi sebagai rakan dalam membentuk pemahaman masyarakat terhadap dasar pembangunan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, lebih 30 pengamal media di Kuching diraikan dalam program AZAM Ramadan: Iftar Bersama Media 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini.
Kenyataan turut mencatatkan antara rakan strategik yang hadir termasuk Jabatan Penerangan Malaysia, TVS, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dan RTM.
“Rakan strategik adalah yang sentiasa menjadi rakan kolaborasi AZAM dalam menyebarkan maklumat pembangunan negeri kepada masyarakat,” ujar kenyataan itu.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran anggota AZAM Young Souls, ahli AZAM Toastmasters Club, serta Ahli Lembaga Pengarah (BOD) AZAM Sarawak, yang turut menyokong usaha memperkasa pembangunan belia dan komuniti.
Majlis ini juga merupakan sebahagian daripada kempen “A Month of Progress”, yang menekankan kepentingan bulan Ramadan sebagai masa untuk meningkatkan pembangunan diri, memperkukuh nilai kebersamaan, serta memperkasa komuniti melalui program sosial dan kemasyarakatan.-TVS