KUCHING, 27 Mac: Empat penerjun payung dari Pasukan Khas Udara (PASKAU) mempamerkan aksi penuh keberanian dan ketangkasan dalam terjunan khas sempena Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut di Padang Merdeka, di sini.
Menurut Pegawai dari Unit Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Sharulrizal Sabri, pasukannya diberikan tugas dalam masa yang singkat tetapi tetap bersedia berbekalkan pengalaman dan kemahiran dimiliki.
“Kami menerima arahan pada notis yang pendek, namun dengan pengalaman penerjun yang kami ada serta anggota yang terlatih dalam bidang penerjunan, saya yakin kami mampu melaksanakan tugas ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita usai sambutan Hari Peringatan ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Tambah beliau yang juga membawa bendera Australia semasa melakukan terjunan, persiapan operasi hanya mengambil masa sekitar seminggu tetapi dengan disiplin tinggi dan latihan yang telah dilalui sebelum ini, pasukan khas TUDM dapat menyertai latihan ini dengan penuh keyakinan.

Kempat-empat penerjun masing-masing membawa bendera Malaysia, Sarawak, Australia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkibar megah dari ketinggian 8,000 kaki di langit Kuching.
Bagi menjayakan misi tersebut, TUDM menggunakan pesawat CN235, sebuah pesawat pengangkut taktikal berkembar enjin dikendalikan oleh Skuadron No. 1 dari Pangkalan Udara Kuching.
Sejurus selesai terjunan, Kapten Sharulrizal menyerahkan bendera Sarawak kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai simbolik perasmian acara penuh makna hari ini. – TVS