SEBUYAU, 27 Mac: Seramai 70 orang asnaf dari enam buah kampung sekitar kawasan Sebangan telah diraikan dengan menerima sumbangan bagi menyambut Aidilfitri yang akan datang.
Memetik laporan UKAS, Majlis penyampaian sumbangan ini telah diadakan pada Khamis bertempat di Masjid Darul Aman Sebangan yang mana ianya disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, inisiatif ini diharap dapat meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan bagi menyambut hari raya.
“Diharapkan dengan sumbangan ini, mereka dapat merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna,” ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pemanca Asli Yahya, Penghulu Abdul Hamid Zaini serta tetamu jemputan yang lain.
Inisiatif seperti ini diharapkan dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan asnaf, dalam meraih kesejahteraan dan kebahagiaan pada hari lebaran.