KUCHING, 27 Mac: Sejumlah 50 pasukan bakal berentap pada Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-57 2025 yang bakal diadakan bermula 2 hingga 13 April depan.
Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datu Abdullah Julaihi berkata, kejohanan itu merupakan pendekatan bijak dalam menggembangkan potensi sukan bola sepak Sarawak, selain mencungkil bakat pemain pelapis bagi pasukan bola sepak negeri ini.
“Kejohanan ini menepati objektif penganjurannya kerana ia telah berjaya mencungkil bakat-bakat baharu di kalangan penduduk-penduduk tempatan di Asajaya, Samarahan khususnya, sekaligus ianya juga memberi peluang kepada pasukan-pasukan di Kuching untuk menghantar pasukan bertanding dalam kejohanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-57 2025 oleh Lea Sports Centre (LSC) di Kuching pada Khamis.
Abdullah yang juga merupakan Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB) menambah, penganjuran kejohanan ini berperanan menyatupadukan rakyat, terutamanya dengan penyertaan daripada pasukan sekitar bandar Kuching, Samarahan dan Simunjan.
Kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan pada hari raya ketiga saban tahun ini, merupakan antara kejohanan sukan tertua di wilayah ini.
Hadiah wang tunai keseluruhan menanti pemenang kelompok tiga terbaik adalah berjumlah RM11,000.
Pasukan yang berjaya dinobatkan sebagai juara akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000, selain piala pusingan dan piala iringan, pingat, jersi serta baucer berjumlah RM1,500.
Naib juara pula akan menerima wang tunai berjumlah RM3,000, piala, pingat, jersi dan baucer berjumlah RM900.
Manakala, dua pasukan lain yang menamatkan perjuangan di peringkat separuh akhir, masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM1,500, piala, pingat, dan baucer berjumlah RM500.
Hadir sama Pengarah Urusan LSC, Raymond Sim.-TVS