KUCHING, 26 Mac: Seramai 300 orang dalam kalangan golongan sasar disantuni Program Ziarah Ramadan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam anjuran Majlis Agama Islam Sarawak (MIS) sempena Ramadan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata program tersebut melibatkan tiga lokasi berbeza dalam satu hari bagi memberi manfaat kepada penerima sumbangan yang terpilih.
Menurutnya, program itu bertujuan untuk menyemai semangat kebersamaan, meringankan beban golongan memerlukan serta menyemarakkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.
“Ini adalah fasa pertama program pertama yang kita anjurkan pada hari ini yang menyampaian ihsan ramadan oleh Majlis Islam Sarawak kepada 100 orang penerima daripada 13 buah wakil daripada 13 buah kampung di dalam Zon Telaga Air.
“Jadi daripada 100 penerima ini yang kita lihat adalah kebanyakkannya terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta OKU golongan asnaf lah yang telah dikenal pasti jawatankuasa JKK kita untuk menerima sumbangan daripada kita Majlis Islam Sarawak,” katanya.
Beliau berucap semasa Program Ziarah Ramadan Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam di Masjid Darul Hasanah di Kuching pada Rabu.
Seramai 300 penerima telah menerima sumbangan barangan keperluan asas serta sumbangan tunai sebanyak RM100 sebagai perkongsian rezeki pada bulan ramadan.
Masyarakat yang menerima bantuan tersebut adalah mereka yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Zon Telaga Air, Zon Santubong dan Zon Seberang Hilir.
Antara lokasi program tersebut adalah di Masjid Darul Hasanah, Kampung Selang Ulu, di Surau Saidina Umar, Bandar Baru Samariang dan juga Surau Darul Hijrah, Perumahan Darul Hana. -TVS