KUCHING, 26 Mac: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) mendedahkan isu Ganti Rugi Ditentukan (Liquidated Ascertained Damages – LAD) merupakan antara perkara yang menjadi tumpuan perbincangan pihaknya dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Naib Presidennya, Louis Ting berkata menerusi perbincangan pihaknya turut dimaklumkan bahawa Abang Johari bersedia membantu dari segi bimbingan dan panduan bagi menyelesaikan sebarang isu.
“Secara keseluruhannya, Premier Sarawak telah memberikan sokongan penuh kepada SHEDA dalam semua aktiviti yang kami jalankan, termasuk perbincangan mengenai levi serta isu-isu lain. Salah satu isu yang sedang dibincangkan ketika ini adalah mengenai LAD yang bermula dari tarikh tempahan.
“Berkenaan perkara tersebut, Premier Sarawak telah mengambil maklum tentang masalah yang dihadapi oleh industri. Beliau akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangani semua isu industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.
Untuk rekod, LAD adalah penalti kewangan yang dikenakan kepada pemaju sekiranya mereka gagal menyiapkan projek perumahan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli.
LAD merupakan satu klausa yang bertujuan untuk melindungi pembeli hartanah serta memberikan pampasan kepada pembeli kerana kelewatan penyerahan rumah yang boleh mengakibatkan beban kewangan. -TVS