SELANGOR, 26 Mac: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk memperkukuh sistem pemantauan kerosakan jalan raya dengan memanfaatkan teknologi terkini bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan efisien.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam satu lawatan kerja ke Infrasel Sdn Bhd, syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya di Selangor pada Selasa meninjau sendiri kecanggihan teknologi yang digunakan dalam pemantauan keadaan jalan raya.
Menurut beliau, lawatan itu turut disertai oleh pasukan dari KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memahami lebih lanjut pembangunan sistem pemantauan jalan yang dibangunkan oleh Infrasel.
“Saya amat tertarik dengan kemudahan Bilik Pemantauan atau Gerakan syarikat ini yang dilengkapi dengan teknologi digital terkini bagi mengesan dan menilai kerosakan jalan secara lebih sistematik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan laman Facebook pada Selasa.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem pemantauan sedia ada, Nanta menyatakan bahawa aplikasi MyJalan yang dibangunkan oleh KKR akan terus dipertingkatkan agar lebih efektif dalam menangani isu kerosakan jalan raya.
Beliau turut berbesar hati dengan kesediaan Infrasel untuk bekerjasama dengan KKR dalam mengintegrasikan sistem pemantauan mereka dengan MyJalan supaya dapat berfungsi secara lancar dan lebih mudah digunakan oleh rakyat.
“KKR komited untuk meneroka lebih banyak inovasi dalam memastikan jaringan jalan raya negara berada dalam keadaan terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.-TVS