MIRI, 26 Mac: Sebuah kediaman dua tingkat separuh kekal termasuk sebuah kereta dan motosikal musnah dalam kebakaran yang turut menyebabkan penghuninya melecur di Kampung Lopeng Tengah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Hamdani Madon berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 6.24 pagi dengan menggerakkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal telah terbakar 80 peratus. Anggota menggunakan teknik pemadaman attacking dan defensive bagi mengawal dan memadam kebakaran.
“Sebuah kenderaan Perodua Axia termasuk motosikal juga telah musnah dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 7.15 pagi dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 8.21 pagi.
“Setelah selesai membuat overhaul di lokasi kejadian dan memastikan tiada lagi punca-punca api, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS