KUCHING, 26 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok kretek bernilai lebih RM12.64 juta dałam satu serbuan di sebuah premis terpencil tanpa nama di Jalan Semaba Batu 5 di sini, pada 12 Februari lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata, hasil pemeriksaan sepasukan pegawai penguatkuasaan JKDM kira-kira jam 9.30 pagi telah menemukan sejumlah 16,656,000 batang rokok kretek pelbagai jenama yang disimpan di premis itu.
“Anggaran nilai sitaan adalah RM1,499,040 juta, manakala jumlah duit cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM11.142 juta, jumlah itu sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar dilakukan JKDM Sarawak setakat ini,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Medan Raya di sini, hari ini.
Katanya, selain rokok, JKDM Sarawak turut menyita sebuah lori bernilai RM80,000 dan pada masa yang sama menahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 44 tahun bagi membantu siasatan.
“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.
“Kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen serta tahap integriti tinggi JKDM Sarawak dalam melaksanakan penugasan yang dipertanggungjawabkan pada setiap masa,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar orang ramai untuk tampil ke hadapan dan membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan, termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta memberi jaminan akan sentiasa memastikan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam terdekat. – TVS