TANJUNG MANIS, 26 Mac: Suatu ketika dahulu, penduduk di kawasan ini sering berdepan cabaran, terutama jika ada pesakit yang memerlukan rawatan segera di Hospital Sarikei.
Namun, berikutan masalah logistik seperti jarak perjalanan yang terlalu jauh, kita terpaksa menggunakan alternatif, iaitu penghantaran pesakit menggunakan bot pada waktu malam.

Itu antara pengalaman yang dikongsikan oleh Ketua Operasi Tanjung Manis Development Sdn Bhd, Mornurazli Morshidi, sepanjang bekerja dan menetap di Tanjung Manis.
Bagaimanapun, katanya, masalah seumpama itu berakhir apabila Jambatan Batang Rajang dan Jalan Sungai Pasi dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.
“Saya memulakan kerjaya dan menetap di Tanjung Manis pada tahun 2003. Tanjung Manis pada ketika itu belum lagi dihubungkan dengan jaringan jalan raya untuk ke Sarikei. Kaedah pengangkutan utama yang digunakan ialah menggunakan bot melalui jalan sungai.
“Kita pernah berdepan situasi kecemasan apabila pihak klinik desa memohon khidmat bot laju untuk menghantar ibu yang sarat mengandung dan hendak bersalin tengah malam.
“Saya berharap dengan adanya Jambatan Batang Rajang nanti, kes kecemasan seperti ini dapat ditangani dengan lebih efisien,” katanya kepada TVS.
Mornurazli optimis bahawa pembinaan Jambatan Batang Rajang yang menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis serta kawasan sekitarnya bakal memberikan impak positif dari segi sosioekonomi penduduk.
Malah, ujarnya, kemudahan itu menjadikan perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis menjadi lebih cepat dan mudah berbanding sebelum ini.
“Ini secara tidak langsung akan mengubah dan memudahkan penduduk dalam menjalankan aktiviti ekonomi, pendidikan, dan sosial serta berkaitan urusan perkhidmatan kerajaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana merealisasikan impian kami,” katanya yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang.