BARIO, 26 Mac: Hari Peringatan Antarabangsa Ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 merupakan platform untuk Malaysia dan Australia mengukuhkan lagi hubungan pertahanan yang telah terjalin selama lapan dekad.
Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menerusi satu kenyataan pada Selasa selepas menghadiri program peringatan itu di Taman Memorial Bario di Bario pada Selasa.
“Acara hari ini memberikan peluang untuk kita merenung masa lalu, masa kini dan masa depan perkongsian pertahanan kita. Kita terus menyokong Malaysia dan kepentingan bersama dalam mewujudkan rantau yang terbuka, stabil dan makmur,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyempurnakan simbolik perasmian program peringatan itu semalam.
Operasi Semut merupakan misi khas yang dijalankan oleh Unit Khas Z Australia ketika Perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1945, pasukan ini melakukan penerjunan payung ke Bario untuk bergabung dengan komuniti tempatan dalam usaha menentang tentera Jepun.
Kejayaan operaasi tersebut telah membentuk asas kepada hubungan pertahanan yang erat antara Malaysia dan Australia, yang terus kukuh sehingga ke hari ini.
Bagi mengenang program peringatan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertontonkan lakonan semula terjunan payung Unit Khas Z Australia untuk menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan pertahanan.
Lakonan semula Operasi Semut 1945 itu dipertontonkan di Bario semalam akan dipertontonkan semula di Padang Merdeka di Kuching eosk, 27 Mac yang bakal disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Program tersebut bukan sahaja mengenang jasa dan pengorbanan generasi terdahulu, tetapi juga menjadi simbol kepada persahabatan yang berpanjangan antara Malaysia dan Australia.- TVS