KUCHING, 26 Mac: Setelah enam tahun bertapak dalam industri kreatif, seni, warisan, dan budaya Sarawak, CENTEXS Commercial kini memperluaskan usahanya mempromosikan produk warisan Sarawak melalui kedai runcit, Sense of Malaysia (SOM), ke pasaran Semenanjung Malaysia dan antarabangsa.
Menurut Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri, CENTEXS Commercial sedang menerokai kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk membuka satu lagi cawangan di Semenanjung Malaysia, iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Cadangan ini dibincangkan sejak beberapa tahun lalu, namun kami memulakan pengoperasian di Kuching terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke enam lapangan terbang antarabangsa lain di Malaysia.
”Bahkan, kami pernah mendapat tawaran untuk membuka ruang di Langkawi, tetapi kami belum mempunyai kesempatan untuk melaksanakannya.
”Oleh itu, kami berharap MAHB menerima cadangan ini kerana ia dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Sarawak untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya dalam sidang media Kempen Rona Warni Aidilfi tri X-Traganza 2.0.
Berkongsi lebih lanjut, Shahren turut membincangkan perancangan untuk membawa produk Sarawak ke peringkat antarabangsa menerusi potensi kerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB).
“Usaha membawa produk Sarawak ke pasaran antarabangsa diperkukuhkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Batik Air pada 2024 untuk mempromosikan produk kami melalui syarikat penerbangan itu.
“Walaupun masih dalam peringkat perancangan, kerjasama ini bertujuan meluaskan lagi pasaran melalui sektor penerbangan,” jelasnya.
Bahkan, Shahren turut menggesa lebih ramai usahawan Sarawak menyokong usaha itu bagi mengukuhkan lagi ekosistem perniagaan produk warisan di Sarawak.
Kongsi Shahren, menerusi inisiatif CENTEXS Commercial yang membantu mempromosikan dan memasarkan produk yang dihasilkan oleh usahawan ini, seramai 378 usahawan produk warisan tempatan berpeluang memperluas pasaran mereka melalui platform SOM.
“Sebanyak 378 daripada 1,000 usahawan dalam senarai kami yang konsisten menghantar produk, manakala yang lain mungkin telah berkembang dengan menggunakan platform lain.
”Alhamdulillah, sejak hampir enam tahun pengoperasian CENTEXS Commercial bermula 2019, usahawan di Sarawak menunjukkan potensi yang amat baik dalam mengembangkan produk mereka seperti yang dapat dilihat di Sense of Malaysia,” katanya.
Lebih menarik, kejayaan 378 usahawan ini mendapat dorongan dan sokongan berterusan pelbagai pihak, termasuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang memastikan rangkaian produk warisan Sarawak ini terus dikomersialkan.
”MAHB banyak mempergiatkan aktiviti promosi dan jualan secara aktif, sekali gus menjaga kualiti pembungkusan dan jenama produk yang dijual di sini.
”Selain itu, sejak mula beroperasi pada 1 Jun 2024, Sense of Malaysia Sarawak merekodkan RM552,734.70 jualan keseluruhan dalam tempoh 10 bulan sahaja.
”Bahkan, sebanyak 46,846 unit produk direkodkan di Sense of Malaysia Sarawak, dengan 35,849 unit daripadanya berjaya terjual. “Ini menunjukkan peningkatan yang tinggi terhadap produk warisan Sarawak yang memberi manfaat besar kepada komuniti usahawan tempatan dan menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak,” jelasnya.
Tambah Shahren, produk seperti kek lapis Sarawak merupakan produk yang sering mendapat permintaan tinggi dan merupakan penyumbang besar pendapatan Sense of Malaysia.
“Kek lapis Sarawak adalah pilihan utama pelancong yang mampu mencecah hampir RM3,000 bagi jualan harian, dan dalam tempoh sebulan, pengusaha kek lapis dapat memperoleh antara RM24,000 hingga RM25,000. ”
Selain itu, produk kraf tangan juga mendapat permintaan yang baik, dengan nilai jualan sekitar RM10,000 sebulan,” tambahnya.
Kejayaan ini menunjukkan bahawa Sense of Malaysia Sarawak berjaya mempromosikan produk komuniti usahawan tempatan dan menyokong pembangunan ekonomi komuniti,” katanya. -TVS