KUCHING, 26 Mac: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) meneruskan usaha menyokong pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar melalui penyelidikan saintifik dan kerjasama, dengan menekankan kepentingan untuk memelihara ekosistem semula jadi Sarawak.
Sarawak Energy dalam kenyataan memaklumkan sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan, syarikat itu telah menerbitkan sebuah buku terbaharu yang mendokumentasikan biodiversiti Taman Negara Baleh, dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Buku bertajuk ‘Life from Headwaters to the Coast: Baleh, Heart of Sarawak’s Wilderness’ itu mengumpulkan hasil penemuan daripada Ekspedisi Saintifik Heart of Borneo 2015, yang dilaksanakan dengan kerjasama Sarawak Energy, UNIMAS, Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak.
Buku itu juga menyediakan penerangan lengkap mengenai flora, fauna dan geologi Baleh, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan dan penyelidikan yang berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili menerusi kenyataan sama menekankan kepentingan penyelidikan saintifik dan pemuliharaan dalam menyokong pembangunan hidroelektrik yang lestari.
“Baleh adalah habitat kepada biodiversiti yang luar biasa dan memainkan peranan penting dalam masa depan tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
“Projek Hidroelektrik Baleh adalah asas kepada strategi kami untuk pembangunan tenaga lestari negeri ini, dan melindungi alam sekitarnya tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.
Sharbini berkata usaha penyelidikan seperti Ekspedisi Saintifik Heart of Borneo menyediakan asas saintifik yang lebih kukuh untuk strategi pemuliharaan.
“Buku ini menekankan kepentingan penyelidikan saintifik dalam membimbing pemuliharaan dan pengurusan sumber yang lestari. Melindungi ekosistem berkenaan memastikan pembangunan hidroelektrik kekal mampan, sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Buku ini boleh didapati menerusi kedai buku dalam talian Penerbit UNIMAS https://www.publisher.unimas.my/index.php/online-book-shop.