PUTRAJAYA, 26 Mac: Pelbagai bantuan disalurkan kerajaan terutamanya kepada penjawat awam merupakan sebahagian usaha untuk memastikan rakyat mendapat manfaat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berharap agar inisiatif yang dilaksanakan itu akan menceriakan sambutan Aidilfitri bagi kumpulan berkenaan.
Selain itu kata Fahmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru – baru ini juga telah mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan bantuan khas berjumlah RM250 untuk pesara kerajaan dan guru KAFA.
“Malah Perdana Menteri juga telah memberikan bantuan kepada 14,000 penjawat awam di Terengganu sebanyak RM500.
“Ini antara usaha kerajaan untuk pastikan rakyat terus mendapat manfaat dan ia diharap mampu untuk menceriakan penjawat awam pada Aidilfitri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa bermula 1 April, Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluaskan kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025.
Jelas Fahmi, ia menyaksikan peningkatan sebanyak lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
“Kita juga semua sedia maklum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah mula disalurkan pada 24 Mac yang lalu. Jadi mereka yang menerima STR akan tergolong dalam kumpulan yang akan menerima bantuan SARA bermula 1 April dengan jumlah yang akan diterima adalah antara RM50 hingga RM200 sebulan bagi tempoh yang telah dinyatakan, “ katanya. – TVS