KUCHING, 26 Mac: Baker Hughes memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Curtin University Malaysia bagi memperkukuh pendidikan dan inovasi dalam sektor tenaga melalui integrasi teknologi pemodelan 3D subpermukaan ke dalam kurikulum universiti itu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor Curtin University Malaysia, Prof. Dr Vincent Lee dan Naib Presiden Perkhidmatan Medan Minyak Baker Hughes, Amerino Gatti, disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian itu ialah Pengarah Urusan Baker Hughes bagi Asia Tenggara, Vu Quanh Anh dan Pengarah GaffneyCline Energy Advisory APAC, Monica Ferro.
Di bawah kerjasama ini, Baker Hughes akan menyumbangkan platform Pemodelan Subpermukaan JewelSuiteâ„¢ kepada Curtin University Malaysia serta menyediakan program latihan bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang relevan dengan industri.
Dr. Hazland dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh sektor tenaga Sarawak dengan memastikan tenaga kerja masa depan memiliki kemahiran teknologi yang canggih.
“Dengan mengintegrasikan pembelajaran yang dipacu industri ke dalam pendidikan universiti, kita merapatkan jurang antara akademia dan cabaran tenaga dunia sebenar.
“Inisiatif ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang menekankan inovasi, kelestarian dan transformasi ekonomi.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama seperti ini bagi menyokong visi Sarawak sebagai peneraju serantau dalam bidang tenaga dan teknologi,” katanya menerusi kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Kerajaan Baker Hughes bagi Asia Pasifik, Wilson Lee berkata syarikat itu komited dalam memacu inovasi dan usaha nyahkarbonisasi di Malaysia sejak lebih 50 tahun lalu.
“Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan generasi profesional tenaga masa depan di Sarawak,” katanya.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong peralihan tenaga Sarawak, malah mencerminkan komitmen lebih luas dalam memperkukuh hubungan antara industri dan akademia.
Dengan kepakaran serta sumbangan teknologi daripada Baker Hughes, kerjasama ini diharap dapat melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi untuk menerajui penyelesaian tenaga lestari di rantau ini. – TVS