PUTRAJAYA, 26 Mac: Kerajaan mengumumkan pemberian insentif rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data minimum sebanyak 5GB sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, insentif khas pada hari raya pertama itu layak kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia.
Menurut Fahmi, insentif itu disalurkan kepada pengguna prabayar dan pascabayar yang berdaftar dengan mana-mana syarikat telekomunikasi dalam negara.
“Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redone, REDtone dan XOX Com.
“Usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat, di samping mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempenan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita sama ada kerajaan memberikan subsidi kepada insentif itu, Fahmi menjelaskan ia dibiayai sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Jumlah akaun pengguna yang berdaftar sekitar 45 juta, setiap akaun yang berbeza dia akan dapat 5GB data.
“Ia tidak ditanggung kerajaan tetapi sebaliknya diberikan oleh syarikat telco, ia seperti ‘angpow’, “ katanya. – TVS