KUALA LUMPUR, 26 Mac: Sebanyak 693 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai sakit, terbengkalai dan lewat telah direkodkan sehingga 28 Februari lalu, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM107.04 bilion.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, data berkenaan berdasarkan Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) sehingga 28 Februari lepas yang dipengerusikan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Jelas KPKT, berdasarkan rekod sebanyak 230 merupakan projek perumahan swasta lewat, 347 projek perumahan swasta sakit dan 116 projek perumahan swasta terbengkalai.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari, sebanyak 82 projek perumahan sakit berjaya memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan serta tujuh projek kembali lancar,” jelas KPKT menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah KPKT, secara keseluruhan sebanyak 89 projek berjaya dipulihkan dengan nilai GDV RM6.48 bilion.
Pada masa sama kementerian itu memaklumkan sebahagian besar pemulihan projek yang dilaksana di bawah Inisiatif Belanjawan 2023 dijangka akan memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada tahun ini.
“Ia melibatkan 13 projek di mana tiga projek dijangka pada suku tahun pertama, lapan
projek pada suku tahun kedua serta masing-masing satu projek pada suku tahun ketiga
dan satu projek lagi pada suku tahun keempat tahun 2025,” kata KPKT.
Sementara itu Aiman Athirah berkata dalam usaha memenuhi obligasi sosial kementerian, beberapa projek perumahan swasta terbengkalai akan menggunakan peruntukan pembangunan pada tahun ini.
“KPKT juga akan memohon agar peruntukan ini dapat dipertimbangkan lagi bagi projek-projek yang menepati kriteria pada tahun 2026 kelak,” katanya.-TVS.