KUALA LUMPUR, 25 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan merasmikan majlis pecah tanah sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Masjid India di sini Khamis ini, biarpun dipertikai badan bukan kerajaan (NGO).
Perdana Menteri pada masa sama meminta pihak tertentu supaya berhenti mempolemikkan isu itu berkenaan serta meminta supaya perbincangan dilakukan secara tertib.
Jelas beliau, kuil tersebut akan dipindahkan ke suatu penempatan baharu yang diberikan secara ihsan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Masjid-masjid berdekatan sudah sesak, jadi perlukan lokasi baru. Saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas projek pembinaan masjid itu pada 27 Mac ini.
“Saya telah minta jawatankuasa perundingan untuk berbincang secara baik dengan menteri terlibat sudah pun turun berunding sebanyak dua hingga tiga kali dan Datuk Bandar DBKL juga sudah pergi ke lokasi itu. Saya kira, cukuplah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pihak kuil juga akan menerima pampasan dari pihak pemaju, namun tidak mendedahkan amaun yang akan diterima.
Dalam pada itu, Anwar menyelar tindakan segelintir pihak yang terus mempolemikkan isu tersebut dengan beliau menegaskan segala proses jual beli tanah, kelulusan dan kebenaran pembinaan projek dibuat semasa era pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Kelulusan diberikan pada 2019, semasa itu Perdana Menteri bukan saya. Kebenaran pembangunan pada 2020 juga dibuat oleh Perdana Menteri yang berbeza. Namun begitu, yang dipersalahkan adalah saya,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menolak untuk memberikan sewenang-wenangnya tanah ganti tanah kepada rumah ibadat yang tidak mempunyai permit dan perlu dipindahkan.
“Ada 130 kuil yang tidak mempunyai permit di Kuala Lumpur, 300 di Kedah dan ratusan di Perak. Tidak boleh begitu, tetapi soal Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ini, saya ambil pendekatan yang sangat bersabar supaya ia diselesaikan dengan baik, meskipun terpaksa bayar ganti rugi dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menegaskan tanah terbabit bukan milik kerajaan sebaliknya swasta sejak tahun 2012 dan pemilik memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi itu. – TVS