KUALA LUMPUR, 25 Mac: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menunggu laporan terperinci daripada kontraktor pembinaan terlibat berhubung insiden kemalangan yang meragut dua nyawa di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara baru – baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau akan turun untuk bertemu syarikat konsesi tersebut esok.
“Saya dimaklumkan kerja-kerja baik pulih sudah dikaksanakan, lubang pada jalan itu sudah ditampal. Saya sudah minta laporan daripada mereka dengan kadar segera.
“Saya sudah tegur mereka dan minta untuk ambil iktibar kes yang berlaku ini supaya pada masa akan datang ia tidak berulang.
“Maknanya mereka perlu lakukan pemantauan dengan lebih kerap dan melakukan kerja baik pulih pada jalan yang rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Cawangan Jalan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pada majlis itu, Alexander Nanta menyerahkan surat pelantikan pegawai penguasa projek dan penyerahan surat setuju terima (SST) kepada kontraktor bagi enam projek infrastruktur jalan raya dan jambatan bernilai RM156.51 juta.
Dalam pada itu, mengulas sama ada KKR akan menamatkan kontrak syarikat tersebut, Nanta berkata ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh kerana terdapat perjanjian yang perlu dipatuhi.
“Tidak boleh kita tamatkan kerana ada perjanjian. Ia melibatkan tiga aspek, jadi bukan semudah itu.
“Kita akan lihat apa yang kita boleh lakukan nanti,” katanya.
Pada Jumaat lepas, dua beradik berusia 17 dan 16 tahun maut ketika dalam perjalanan ke sekolah apabila motosikal ditunggang mereka terlanggar lubang di Jalan Sengkang-FELDA Inas-Bandar Tenggara.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Alexander Nanta memaklumkan pengumuman diskaun sempena Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Rabu selepas mesyuarat Jemaah Menteri. – TVS.