KUCHING, 25 Mac: SEDC Energy (SEDCE) merancang untuk membangunkan empat stesen pelbagai bahan bakar (MFS) jenis flagship baharu di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka beroperasi menjelang 2030.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha SEDCE untuk memperkukuh infrastruktur tenaga mampan di Sarawak dan menyokong matlamat dekarbonisasi negeri menjelang 2050.
SEDCE dalam kenyataannya memaklumkan, stesen-stesen baharu ini akan dibangunkan di lokasi strategik termasuk Bintulu, Miri, Sibu, dan Sri Aman.
Melalui pelaksanaan stesen-stesen ini, SEDCE berharap dapat mengukuhkan rantaian nilai hidrogen di Sarawak, seterusnya mempromosikan penggunaan tenaga bersih dan teknologi hijau dalam kalangan masyarakat.
Stesen flagship pertama, MFS Darul Hana, telah dilancarkan pada tahun 2022 dan merupakan stesen pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pengisian hidrogen serta pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Dengan kapasiti pengeluaran hidrogen sebanyak 150kg sehari, MFS Darul Hana telah menjadi pelopor bagi inisiatif ini dan dijangka menjadi contoh kepada stesen-stesen seterusnya.
Pelancaran stesen flagship kedua di Batu Kawa, yang dijadualkan pada suku kedua tahun ini dengan Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) telah dilantik sebagai pengendali stesen tersebut.
Ia sekali gus menjadikan enam stesen MFS flagship secara keseluruhan akan beroperasi di wilayah ini.
Penubuhan stesen-stesen ini dijangka akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada ekonomi setempat, sekaligus mempromosikan inovasi dalam sektor tenaga.
Dalam kenyataan sama, SEDCE dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengagihkan 700 bubur pedas kepada komuniti setempat bagi menyemarakkan semangat bulan Ramadan di PETROS MFS Darul Hana hari ini.
“Kami ingin menjadikan PETROS MFS sebagai stesen komuniti yang dapat menjadi pusat untuk menghimpunkan masyarakat.
“Dengan acara seperti ini, PETROS MFS, sebagai jenama stesen minyak milik Sarawak, kami ingin masyarakat berasa bangga dengan kehadirannya dan membawa impak positif dalam komuniti,” kata kenyataan tersebut.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi SEDCE, Foo Kim Leong dan Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii. -TVS