Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sembilan sekolah di seluruh Ireland Utara menjadi sasaran e-mel ancaman yang dipercayai palsu, menurut polis tempatan pada Isnin. Foto hiasan Envato

Sekolah Ireland utara terima e-mel ancaman dipercayai palsu

ByBernama

LONDON, 25 Mac: Sembilan sekolah di seluruh Ireland Utara menjadi sasaran e-mel ancaman yang dipercayai palsu, menurut polis tempatan pada Isnin, seperti dilaporkan agensi berita Jerman dpa.

Beberapa sekolah di daerah Antrim, Fermanagh, dan Tyrone ditutup ekoran “kebimbangan keselamatan” pada pagi Isnin.

Sebelum itu, Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) memaklumkan mereka sedang berhubung dengan Polis Metropolitan di London berhubung e-mel itu.

Menteri Pendidikan kerajaan Ireland Utara, Paul Givan, mengutuk gangguan itu dan menyambut baik apa yang beliau sebut sebagai “tindak balas pantas PSNI”.

PSNI berkata mereka sedang menyiasat keadaan e-mel ancaman yang dihantar ke sembilan sekolah pada Isnin, dan “pada masa ini, menganggap perkara ini sebagai palsu”.

Mereka menerima laporan daripada tiga sekolah di Strabane, tiga sekolah di Ballycastle, dan tiga sekolah di Enniskillen bahawa mereka menerima e-mel pada awal pagi Isnin.

Anggota polis dihantar ke setiap sekolah, dengan pihak berkuasa menyatakan: “Pemeriksaan setakat ini tidak menemui sebarang perkara mencurigakan di mana-mana sekolah.”

“Berdasarkan siasatan dan maklumat semasa, polis menganggap ini sebagai palsu,” tambah PSNI.

Ketua Superintendan Gillian Kearney berkata siasatan masih berjalan.

“Kami mengambil insiden sebegini dengan sangat serius dan memahami kebimbangan masyarakat, apatah lagi gangguan yang dialami komuniti sekolah, pelajar, dan ibu bapa,” katanya.

“Terima kasih kepada setiap sekolah atas kerjasama dalam siasatan setakat ini. Siasatan akan diteruskan, dan kami akan terus berhubung dengan sekolah terjejas untuk memberi kepastian.

“Kami menyeru semua pihak untuk berwaspada dan segera melaporkan sebarang perkara mencurigakan kepada polis dengan menghubungi 101, atau 999 dalam kecemasan.”

Givan berkata dalam kenyataan: “Saya mengutuk gangguan yang berlaku pagi ini setelah e-mel dihantar ke beberapa sekolah di seluruh Ireland Utara.

“Saya menyokong tindak balas pantas PSNI yang kini telah menilai ancaman dan memaklumkan sekolah bahawa tiada tindakan perlu diambil ekoran helah palsu itu.”

Beberapa sekolah terjejas menyiarkan maklumat di media sosial.

Holy Cross College di Strabane, Co Tyrone menyatakan: “Malangnya sekolah terpaksa ditutup hari ini ekoran bimbang aspek keselamatan.

“Pelajar yang sudah dalam perjalanan diminta diambil oleh ibu bapa. Kami akan memberi maklumat terkini secepat mungkin.”

Mesej sama disiarkan di akaun Facebook Cross and Passion College di Ballycastle, Co Antrim.

Sementara itu, Erne Integrated College di Co Fermanagh melaporkan: “Lalu lintas sekitar sekolah dan Erne Integrated Primary sangat sesak ekoran amaran keselamatan pagi ini.

“Kami beroperasi seperti biasa setelah PSNI mengesahkan tiada ancaman.”

Ahli Dewan Undangan Fermanagh dan South Tyrone dari DUP, Deborah Erskine, menyifatkan sasaran ke sekolah sebagai “tindakan keji”.

“Ancaman terhadap sembilan sekolah di seluruh Ireland Utara perlu dikutuk sekeras-kerasnya. Walaupun kami menunggu maklumat lanjut, tindakan ini tidak boleh diterima dan tiada tempat dalam masyarakat.

“Menyasarkan sekolah – tempat pembelajaran dan persahabatan – amat keji,” katanya.

Beliau juga memuji kepimpinan sekolah terjejas atas tindakan pantas memastikan keselamatan warga sekolah.

Ketua TUV dan Ahli Parlimen North Antrim, Jim Allister, berkata di X: “Mengecewakan melihat sekolah di Ireland Utara ditutup ekoran ancaman, termasuk Cross & Passion College di Ballycastle.

“Saya yakin polis akan bertindak pantas dan meredakan kebimbangan ibu bapa serta pelajar.”

Ahli DUP Gary Middleton berkata: “Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan kenyataan terkini dari PSNI dan Pihak Berkuasa Pendidikan.”

Seorang jurucakap Pihak Berkuasa Pendidikan menyatakan mereka sedar tentang laporan e-mel yang dihantar ke sekolah-sekolah.

“PSNI sedang menyiasat, dan kami tidak boleh memberi ulasan lanjut buat masa ini,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan