MIRI, 25 Mac: Acara Memperingati Ulang Tahun ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut di Bario bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi juga memperkukuh kedudukan ia sebagai destinasi pelancongan sejarah yang bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kehadiran tetamu antarabangsa dalam acara itu membuktikan kepentingan Bario sebagai lokasi bersejarah yang signifikan.
“Berdasarkan kehadiran tetamu pagi ini, acara peringatan komuniti ini kini telah menjadi sebuah acara bertaraf antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Rurum Kelabit Sarawak (RKS) serta penyokong mereka, termasuk Pejabat Residen Miri dan Majlis Bandaraya Miri, atas usaha menganjurkan acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ulang Tahun ke-80 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut di Bario di sini, hari ini.
Tambahnya, acara ini bukan sahaja menghormati pasukan khas Unit Z yang bertempur bagi membebaskan Sarawak daripada pendudukan Jepun, tetapi juga menghargai sokongan serta pengorbanan masyarakat Kelabit yang memainkan peranan penting dalam Operasi Semut.
“Rakyat Sarawak tidak akan melupakan jasa mereka yang telah berkorban untuk membebaskan negeri ini dan untuk keamanan serta keharmonian yang kita nikmati hari ini,” tambahnya.
Bersempena acara itu, demonstrasi pendaratan payung terjun oleh Unit Khas Z turut diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Australia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Menurutnya, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Leftenan Steven Mandow bagi mengenal pasti lebih banyak lokasi bersejarah di Sarawak yang boleh dibangunkan sebagai tapak peringatan.
“Kita tidak mahu kawasan-kawasan yang menjadi saksi pertempuran dan pengorbanan ini dilupakan. Kita harus mendirikan tugu-tugu peringatan bagi generasi muda, supaya mereka sedar bahawa keamanan yang mereka nikmati hari ini tidak datang dengan mudah,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat Rurum Kelabit Sarawak, Datuk Gerawat Gala, Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Dr. Philip Raja; wakil Majlis Bandaraya Miri; serta ahli keluarga veteran Operasi Semut dari Australia dan New Zealand. – TVS