KUALA LUMPUR, 25 Mac: Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 merupakan perundangan penting untuk membawa Malaysia mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, RUU ini menyediakan kerangka perundangan yang menyeluruh untuk aktiviti CCUS serta meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan ekosistem ekonomi hijau negara.
Kata beliau, ia juga melengkapkan pendekatan holistik dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan teknologi CCUS menjadi salah satu daripada enam pemacu utama.
“Pendekatan ini wajar dipuji dan dijadikan contoh teladan kepada mana-mana dasar nasional yang melibatkan pelaksanaan rentas bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” kata beliau semasa sesi perbahasan Dewan Negara, di sini hari ini.
Sementara itu Ahmad turut berkongsi dengan sidang dewan berhubung usaha Kerajaan Sarawak menggerakkan industri CCUS dengan lebih pantas.
“Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai insiatif awal termasuk Melancarkan Pelan Hala Tuju CCUS Sarawak yang menetapkan arah strategik jangka panjang, melantik syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai entiti bertanggungjawab mengurus sumber negeri berkaitan CCUS.
“(Selain itu syarikat berkenaan juga) dianugerahkan lesen penyimpanan karbon pertama mengikut undang-undang Sarawak serta menggubal peraturan khusus seperti Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022 dan Peraturan Sumber Alam dan Alam Sekitar (Pengangkutan Gas yang Ditetapkan) 2024,” katanya.
Selari dengan kesediaan Sarawak dalam industri ini, kata Ahmad adalah wajar dan adil untuk negeri itu mendapat kawal selia penuh terhadap sumber semula jadi.
“Ini bukan soal keistimewaan, tetapi soal hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Undang-undang negeri seperti Sarawak Land Code (Chapter 81) dan Oil Mining Ordinance 1958 (OMO) masih berkuat kuasa dan tidak tertakluk kepada Petroleum Development Act 1974 (PDA 1974).
“Oleh itu, sebarang pelaksanaan projek CCUS di Sarawak mestilah mendapatkan persetujuan bertulis daripada Kerajaan Negeri dan melibatkan PETROS sebagai pemegang amanah sumber tersebut,” ujarnya. -TVS.