KOTA SAMARAHAN, 25 Mac: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya kendiri yang berlaku di KM13 Jalan Datuk Mohd Musa, di sini, pada jam lebih kurang 6:30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa, Lo Sing Juk, 62 tahun.
“Siasatan awal mendapati, setibanya di KM13 Jalan Datuk Mohd Musa dan ketika sedang melalui susur keluar, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 6:40 petang.
Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS