Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ACP Mohd Farhan Lee Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya sempena Sambutan Peringatan Hari Polis peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, hari ini. Foto Alex Teo (TVS)

PDRM adaptasi evolusi, pelihara kedaulatan negara

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 25 Mac: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal teguh mendepani evolusi yang mencabar dalam memelihara kedaulatan, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam amanat sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 yang dibacakan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata usaha berkenaan turut didorong oleh prinsip ‘Driving for Excellence’ yang menjadi panduan warga PDRM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Selaras strategi berkaitan, bersepadu atau AI, semua elemen polis digesa meningkatkan kerjasama dengan segenap lapisan masyarakat serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk pemain industri tempatan mahupun antarabangsa bagi meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan keupayaan warga pasukan melaksanakan penugasan terutamanya dalam menyelesaikan siasatan,” katanya.

Amanat itu dibacakan pada perhimpunan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Razarudin berkata, ikrar yang dilafaz merupakan janji taat setia kepada Raja dan negara, maka ia harus dihayati, difahami dan dipraktikkan oleh semua warga Sang Saka Biru.

Ujarnya, lencana ‘Integriti Amalan Kita’ dan slogan ‘Sedia Berkhidmat’ yang tersemat pada seragam biru menjadi tunjang perkhidmatan yang tulus serta mengutamakan kepentingan masyarakat dan negara.

Sambutan Peringatan Hari Polis peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, hari ini. Foto Alex Teo (TVS)

Dalam pada itu, Mohd Farhan memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam akan sentiasa terjaga ketika perayaan Aidilfitri kelak.

Jelasnya, anggota dan pegawai polis dari IPD Kuching akan ditugaskan bagi membuat rondaan dan pemantauan kerap sepanjang sambutan itu.

“Bagi daerah di bawah pentadbiran IPD Kuching, ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, insya-Allah pegawai dan anggota kami terutamanya dari bahagian trafik (akan bertugas). Semua cuti dibekukan, maka mereka pegawai dan anggota bertugas di lapangan sepanjang masa tersebut.

“Selain itu, pegawai dan anggota juga cukup untuk menjalankan tugas. Kita pastikan semua respon kepada umum akan diambil berat. Tiada masalah tentang penugasan, sudah awal kita aturkan,” ulasnya lanjut.

Pada masa sama, orang awam yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri, dinasihatkan untuk memaklumkan kepada jiran tetangga mengenai ketiadaan mereka.

Ia bagi memastikan keselamatan kawasan kediaman ketika ditinggalkan tidak berpenghuni.

“Kita tidak boleh menjangkakan mana kawasan yang menjadi tumpuan. Maka, nasihat kepada masyarakat terutamanya sepanjang sambutan hari raya ini supaya ketika tinggalkan rumah kosong, sila maklum kepada balai berhampiran untuk kita buat rondaan yang kerap ke kawasan tersebut.

“Maklumkan juga kepada jiran berkaitan ketiadaan kita di rumah, balik ke kampung, agar mereka boleh tolong tengok-tengok dan maklum kepada pihak polis sekiranya ada orang mencuri,” ujarnya lagi.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-214444 sekiranya terdapat sebarang perkara mencurigakan berlaku di kawasan kediaman mereka.

Sempena sambutan itu juga Mohd Farhan telah menyampaikan sijil kepada pengamal media termasuk TVS.

Antara penerima lain termasuk Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan