KUCHING, 25 Mac: Jeti Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) akan dinaik taraf bagi membolehkan kapal baharu, KM Tun Fatimah, berlabuh di kawasan tersebut.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, naik taraf jeti itu melibatkan kerja-kerja memanjangkan jeti berikutan perairan yang cetek.
“Kita mengemukakan permohonan untuk membuat pemanjangan supaya kapal baharu kita KM Tun Fatimah dapat diletakkan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, permohonan ini merangkumi pemanjangan jeti kira-kira 80 meter dan ‘jeti head’ lebih kurang 100 meter sebab KM Tun Fatimah ini bersaiz 83 meter.